Wednesday, July 29, 2009

TEMPAT-TEMPAT PELANCONGAN DI MALAYSIA

SEBAIK saja dimaklumkan perjalanan menaiki bot dari Jeti Tanjung Leman ke Sibu Island Resort mengambil masa 45 minit, penulis terus terbayang laut luas yang tidak menjanjikan panorama indah. Apatah lagi ketika tiba di Jeti Tanjung Leman, matahari sedang terik memancar.

Begitupun, hembusan angin dan perjalanan yang merentasi beberapa buah kelong ternyata mengubah jangkaan awal penulis. Apa tidaknya kerana ketika tiba di Sibu Island Resort, kecantikan alam semula jadinya membuat hati terpaut. Penat lelah berkereta api seawal jam 7.30 pagi dari Stesen KL Sentral ke Kluang terus lenyap.



PANTAI memutih yang menjanjikan ketenangan.

Malah, ketika melihat sekawan rusa berkeliaran di padang ragut di hadapan resort, terasa begitu dekat dengan alam. Resort yang jauh dari riuh rendah kota ini adalah satu-satunya kawasan berpenghuni di Pulau Sibu Tengah Mersing.

Tidak seperti lokasi percutian lain, Sibu Island Resort memang khusus untuk mereka yang ingin mencari ketenangan. Yang pasti, di Pulau Sibu Tengah tidak ada penempatan manusia, tiada jualan murah dan tiada deretan gerai cenderamata. Hanya pantai memutih dan hijau alam yang menanti anda.

Untuk pengantin baru, Sibu Island Resort juga menjanjikan ketenangan yang tiada tandingan. Apatah lagi bilik khas pengantin berbulan madu letaknya agak terasing dengan chalet lain. Bagusnya, enam bilik istimewa itu ‘memiliki’ pantai sendiri yang bersambung dengan tangga dari bilik ke gigi air.

Dibangunkan pada 1997, dengan sentuhan seni bina Melayu asli. Berdinding papan dan bertangga batu, binaannya saja membuat kita ingin menjenguk sentuhan hiasan dalamannya. Oleh kerana pengunjung yang ke sini kebanyakan warga asing terutama dari Eropah, seni bina rumah Melayu Asli begitu tentu saja memberi mereka pemandangan baru.

Lebih menarik, resort ini turut memelihara beberapa jenis haiwan peliharaan selain rusa bagi menyerikan lagi landskap. Ada beberapa ekor ayam dan anak kambing yang berkeliaran di sekitar resort. Agak lucu melihat kanak-kanak Eropah yang mungkin tidak pernah melihat kambing mendukung, mendakap dan mencium haiwan itu seperti kucing.

Bersantai di gigi air mungkin bukan pilihan semua orang justeru ada banyak aktiviti yang boleh anda pilih. Apatah lagi, Pulau Sibu Tengah dikelilingi beberapa pulau besar dan kecil yang masing-masing punya keistimewaan sendiri. Kebanyakan pulau berdekatan seperti Pulau Kukus, Sibu Hujung, Metinggi, Lima dan Tinggi dijadikan lokasi untuk aktiviti snorkeling bagi kebanyakan pengunjung.

Bagi anda yang ingin menikmati keindahan batu karang, Pulau Lima sedia menanti. Kawasan ini memang terkenal dengan kehidupan laut dan terumbu karang. Malah, ia juga diwartakan sebagai taman laut. Malangnya, ketika rombongan kami berada di sebuah pulau sekitar resort untuk snorkeling, sebahagian kami bukan saja berpeluang meninjau terumbu karang di air jernih tetapi juga terumbu karang yang bersepah-sepah patah di pantai. Ada juga yang tersangkut pada jala.

Untuk yang gemar memancing, kelong yang anda rentasi ketika dalam perjalanan ke resort sedia untuk ditawan. Selain itu, ada beberapa pulau yang sesuai untuk lokasi memancing jika anda tidak gemar memancing di kelong. Pilihlah waktu yang anda suka, kakitangan resort sentiasa sudi berkhidmat.

Jika anda ingin mencandat sotong, Pulau Sibu Tengah sedia menawarkan pengalaman menarik ini. Jangan bimbang jika anda hanya tahu makan sotong tetapi teringin belajar mencandat, sesi pembelajaran serba ringkas dan percuma sedia diberikan oleh pihak pengurusan. Bagaimanapun, pastikan jika ingin mencandat sotong, anda bukan seorang, sebaliknya paling minimum 10 orang.

Bagi yang teringin menikmati pemandangan matahari jatuh di tengah laut, anda boleh memilih untuk menikmati perjalanan romantik dengan kapal layar. Berteman bunyi ombak sambil menikmati hidangan ringan, bagi anda yang menghargai ketenangan alam mungkin ia boleh menjadi pilihan.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti meredah hutan, pulau seluas 45 hektar ini menjanjikan kepelbagaian flora dan fauna yang sedia untuk dijelajah. Bentuk muka bumi yang berbukit dan dikelilingi pantai mungkin tidak cukup mencabar bagi anda yang sudah biasa diasak dengan pendakian gunung ganang dan bukit bukau.

Selain bercuti, resort ini juga menawarkan pakej seminar dan perkahwinan. Jika sesekali ingin bermesra dengan alam semula jadi, jemputlah berkunjung ke Sibu Island Resort.


Cara ke sana?

1 Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Kluang yang mengambil masa lima jam. Dari Kluang, anda boleh mengambil bas ke Jeti Tanjung Leman.

2 Bagi mereka menaiki kereta dari Kuantan, anda boleh menggunakan Jalan Kuantan-Mersing dan kemudian menuju ke Jemaluang sebelum ke Jeti Tanjung Leman. Bagi mereka yang berkenderaan sendiri, terutama dari Kuala Lumpur, anda boleh menggunakan Lebuhraya Utara Selatan dan memasuki Plaza Tol Air Hitam untuk ke Kluang. Dari sini, anda akan ke Jemaluang untuk ke Tanjung Leman. Dari Johor Bahru pula, anda boleh meneruskan perjalanan ke Tanjung Leman, tanpa perlu ke Jemaluang.

3 Tiada penerbangan terus ke Sibu Island Resort. Lapangan terbang terdekat ialah Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai dekat Johor Bahru. Dari Johor Bahru anda boleh menaiki teksi ke Jeti Tanjung Leman yang mengambil masa dua jam.


Fakta: Pulau Sibu


Sibu Island Resort terletak di Pulau Sibu Tengah

Pulau yang berkeluasan 65 hektar dan kira-kira 120 kilometer dari Johor Bahru.

Sibu Island Resort menyediakan 121 bilik.

Jeti Tanjung Leman terletak di daerah Kota Tinggi dan perjalanan ke jeti itu mengambil masa 45 minit dari bandar Kota Tinggi.
qahar

No comments:

Post a Comment